WARKAH YDP PAS WANGSA MAJU SEMPENA HARI KEBANGSAAN 2020

kita menyambut Hari Kebangsaan. Secara rasminya kali yang ke 63 mengikut kiraan hari pengumuman kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 yang dibuat oleh Tunku Abdul Rahman di Stadium Merdeka.

Banyak peristiwa yang telah dilalui oleh Persekutuan Tanah Melayu yang kemudiannya Malaysia sejak mencapai kemerdekaan dari jajahan British kepada sebuah Negara berdaulat dan bebas melakar halatujunya mengikut acuannya sendiri.

Menelusuri sejarah kemerdekaan negara, umum mengetahui pahit getir yang telah dilalui oleh pejuang terdahulu untuk membebaskan negara. Tidak perlu dihuraikan lagi, kerana pengorbanan mereka sudah terpahat kukuh dalam lipatan sejarah kemerdekaan. Hasilnya, pelbagai pencapaian dan kejayaan yang telah dirasai dan dinikmati hasil daripada perjuangan mereka.

Tema Hari Kebangsaan 2020, ‘Malaysia Prihatin’ yang digariskan memberi seribu satu makna untuk kita hayati. Ia menuntut kita membuat penilaian semula sejauh mana negara sudah merdeka. Adakah kemerdekaan yang dikecapi ini sekadar kemerdekaan fizikal atau sebaliknya.

Hakikatnya, minda dan pemikiran sebahagian generasi hari ini masih dijajah. Elemen yang merosakkan negara seperti rasuah, penyalahgunaan media sosial, salah guna kuasa, gejala sosial dan seumpamanya semakin berleluasa sekaligus merosakkan dan mencacatkan erti kemerdekaan yang diperolehi.

Akhir kata, saya menyeru agar sama-sama kita hayati erti sebenar kemerdekaan dan membentuk kesatuan, tenaga dan pemikiran dalam diri demi agama dan negara. Usahalah bersungguh-sungguh untuk memajukan diri serta membantu masyarakat sekeliling mencorak masa depan mencapai kemajuan serta kesejahteraan dunia dan akhirat.

Merdeka! Merdeka! Merdeka!

‘Malaysia Prihatin’
‘Islam Memimpin Perpaduan’

Ustaz Abdul Rani Bin Mohamed Daud
Yang Dipertua PAS Kawasan Wangsa Maju

Please follow and like us:

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.