PERUTUSAN HARI RAYA AIDILADHA 2020/1441H

Menuntut Ketaatan, Menyubur Keimanan

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat-Nya kita masih diberi kesempatan untuk meraikan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini dalam suasana norma baharu biarpun pendemik COVID-19 masih belum berakhir.

Puluhan ribu umat Islam dari seluruh pelusuk dunia sedang berhimpun di Padang Arafah bagi menyempurnakan ibadah Haji juga dalam kawalan SOP yang sangat ketat.

Aidiladha mengingatkan kita tentang kisah ketaatan dan pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS. Kisah agung yang terpahat dalam kalam Allah ini memberi seribu satu ibrah iaitu menyatukan ummah atas dasar taqwa yang dimiliki. Justeru, perlu ada pengorbanan besar dan kerjasama berterusan daripada seluruh umat.

Firman Allah SWT di dalam surah As-Saaffaat ayat 102 yang bermaksud :

“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.”

Pelaksanaan ibadah korban mendekatkan hamba kepada Allah SWT dan sebagai tanda kesyukuran di atas segala nikmat kurniaan-Nya. Pengorbanan dari segi perasaan, wang ringgit, masa dan tenaga yang dimiliki amat dituntut demi menjadi hamba Allah SWT yang ikhlas dalam menempuhi perjuangan hidup.

Kami mengharapkan sokongan dari anak muda khasnya dari Wangsa Maju bagi terus menerus menyokong kerajaan yang sedia ada bagi melawan pihak yang berkepentingan politik semata-mata. Tambahan pula, di arus pemodenan ini, kita menghadapi cabaran di media sosial dengan berita tidak sahih yang dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab. Ini menimbulkan prasangka serta emosi negatif dalam kalangan masyarakat terhadap Negara.

Bersempena Hari Raya Aidiladha ini, marilah kita memelihara hubungan dengan Allah SWT pada setiap masa melalui ibadah yang ikhlas. Dengannya, hubungan sesama manusia juga akan turut terpelihara.

Akhir kata, saya mewakili Dewan Pemuda PAS kawasan Wangsa Maju mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya penduduk di Wangsa Maju.

Sekian, terima kasih.

“DemiIslam”
“IslamMemimpinPerpaduan”

Ustaz Mohd Abdul Hadi Mohd Ghazali
Ketua Pemuda
PAS Kawasan Wangsa Maju
31 Julai 2020 / 10 Zulhijjah 1441H

Please follow and like us:

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.