PERUTUSAN MAAL HIJRAH 1442 HIJRAH /2020MASIHI

Dewan Pemuda PAS Wangsa Maju (DPPWM) mengucapkan selamat menyambut Maal Hijrah 1442H kepada seluruh umat Islam khususnya di Wilayah amnya di Wangsa Maju.

“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nisa’ ayat 100)

Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT yang memberikan kita nikmat keamanan dan kesejahteraan di bumi Malaysia pada hari ini.

Setiap tahun kita menyambut Maal Hijrah dengan penuh gemilang. Ibrah Hijrah ini bukan sekadar mengajak kita untuk membuat perubahan ke arah yang lebih baik tetapi juga untuk memantap dan memperkukuh ikatan ukhuwah sesama umat Islam. Ini kerana kejayaan Hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat telah berjaya menyatupadukan dan mempersaudarakan seluruh umat Islam di Madinah sekaligus membentuk kesatuan ummah yang mantap dan kukuh, yang akhirnya berjaya menubuhkan sebuah negara Islam Madinah yang maju, aman dan makmur.

Hijrah juga mengajar kita betapa pentingnya bersikap tabah dan berhati cekal sepertimana kaum Muhajirin ketika berhijrah dengan merasai susah payah, penderitaan, kehilangan harta dan keluarga serta penyeksaan merupakan pengajaran yang amat penting dalam membentuk jiwa yang kental kepada generasi muda masa kini. Ketabahan dan kecekalan mereka ini berdasarkan semangat hijrah dan berteraskan niat serta keyakinan bahawa janji kemenangan dan pertolongan Allah SWT pasti benar akhirnya berjaya merobek keangkuhan jahiliah dan menjadikan kebatilan tersungkur rebah.

Semoga sambutan Maal Hijrah kali ini disambut dengan penuh ketaqwaan.

“Ummah Rabbani, Negara Harmoni”
“Memperkukuh Iltizam”
“Demi Islam”

Mahfuzan Gaddafi Mahmud
Naib Ketua Pemuda DPPWM
29 Zulhijjah 1441H
Bersamaan 19 Ogos 2020

Please follow and like us:

Leave a Comment

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.